• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Luluskan Jumlah Lesen Nelayan Terbesar

KUALA NERUS, 7 Oktober – Kelulusan lesen sampan khas 2021 sebanyak 600 lesen yang juga merupakan jumlah terbesar dalam sejarah, menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam memperjuangkan golongan nelayan dalam negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata isu lesen nelayan sampan sebelum ini dikatakan lapuk dan tidak diselesaikan sejak berpuluh tahun lalu.

“Kebanyakkan warga ini telah lama turun ke laut mencari rezeki sepenuh masa, namun tidak mempunyai lesen sampan.

“Ini menyebabkan mereka dinafikan beberapa hak seperti minyak subsidim elaun sara diri nelayan, bantuan bencana dan sebagainya, ini yang kita perjuangkan di peringkat kementerian bersama jawatankuasa khas dianggotai pelbagai jabatan dan persatuan nelayan.

“Hasilnya, kita buat pemutihan sebanyak 800 orang nelayan sampan yang belum mendapat lesen untuk dibawa ke ibu pejabat Jabatan Perikanan di Putrajaya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Labuh Tukun Tiruan, di perairan Tok Jembal Kuala Nerus, pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Pengarah Pertanian Negeri Terengganu Zulkepli Amin Mat Jusoh @ Yusof dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab.

Jelasnya, daripada jumlah tersebut, 600 lesen diluluskan dengan 503 telah diagihkan ke Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman.

“Baki 200 lagi yang belum diluluskan akan diteliti dalam beberapa aspek teknikal sebelum diselesaikan,” tambahnya.