• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Mahu Perluas Bantuan Subsidi Rawatan Kesihatan

KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Kerajaan negeri memberi komitmen untuk memperluaskan bantuan subsidi rawatan kesihatan atau Kad Sejahtera di klinik-klinik swasta terpilih ke pusat perubatan lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dalam masa terdekat.

“Saya membaca satu hantaran di Twitter tentang seorang wanita yang tidak mampu untuk membayar kos perubatan bahkan untuk membayar harga ubat. 

“Hantaran itu menyatakan bahawa wanita itu ada menunjukkan satu kad ketika di kaunter. Kad yang dinyatakan merupakan Kad Sejahtera bernilai RM500 yang diberikan kepada golongan yang kurang berkemampuan untuk menjalani rawatan.

“Namun, tidak semua klinik mahupun pusat perubatan menerima kad tersebut kerana pihak Kerajaan Negeri telah melantik klinik-klinik tertentu sebagai panel,” ujar beliau ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman sebentar tadi.

Wan Sukairi.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam memaklumkan, pusat perubatan yang didatangi wanita terbabit terletak di DUN beliau dan pihaknya akan berusaha untuk menjadikan klinik itu sebagai klinik panel Kad Sejahtera.

“Pusat Perubatan Intan ini berada di dalam kawasan DUN Wakaf Mempelam dan insya-Allah saya akan memberi komitmen dalam usaha untuk menjadikan Pusat Perubatan Intan di sini sebagai klinik panel untuk Kad Sejahtera khususnya buat masyarakat DUN Wakaf Mempelam,” tambah beliau.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri menyasarkan 20,000 penerima dalam program Kad Sejahtera terbabit dengan peruntukan RM10 juta setahun.

"Bagi fasa 2 setakat April 2021 seramai 18,181 penerima baharu melibatkan golongan berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam program e-kasihtelah dikenalpasti.

"Sehingga kini, kira-kira 60 klinik menawarkan perkhidmatan Kad Sejahtera ini dan kita sangat mengalu-alukan lebih banyak lagi yang akan turut bersama-sama kerajaan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dalam mendapatkan rawatan kesihatan terbaik," jelasnya.

Kad Sejahtera merupakan salah satu manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu dan ia dilancarkan pada 2019.

 


Tag: