• 14 Mei 2024 | 6 Zulkaedah 1445

Terengganu Mahu Perluas Tanaman Padi



KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri bercadang menambah seluas  5,046 hektar kawasan  tanaman padi bagi memastikan bekalan beras mencukupi untuk memenuhi permintaan penduduk Terengganu pada masa akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, berkata ketika ini kira-kira 5,323 hektar tanah ditanam padi dengan kemampuan pengeluaran beras hanya 5,000 tan metrik setahun bagi pasaran tempatan.

Katanya, jumlah itu masih belum mencukupi kerana berdasarkan anggaran kecukupan kadar sara diri pengeluaran padi di Terengganu  adalah 10,000 metrik tan bagi tempoh sama.

“Buat masa sekarang, kadar pengeluaran hasil padi sedia ada hanya 53 peratus. Bagaimanapun kita masih memerlukan 47 peratus lagi untuk memastikan rakyat Terengganu cukup untuk makan nasi.

“Sekarang terdapat 5,323 hektar kawasan tanaman padi di jelapang Besut dan Setiu. Kita dalam proses untuk memperluaskan kawasan jelapang padi dengan tambahan 5,046 hektar  lagi bagi memenuhi pemintaan pasaran tempatan” katanya dalam kenyataan yang disiarkan melalui Facebook,”katanya.

Projek itu diusahakan di kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu Terengganu Utara (IADA KETARA) untuk fasa 2 dengan memanfaatkan sistem pengairan dari Empangan Paya Peda yang baru disiapkan.


Tag: