• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Terengganu Mahu Proses Vaksinasi Di Kawasan Kritikal Dipercepatkan

KUALA TERENGGANU, 30 Julai - Kerajaan negeri mahu proses vaksinasi di tempat kritikal atau kawasan yang mencatatkan bilangan kes COVID-19 tinggi dipercepat dan ditingkatkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, bagi memastikan langkah itu berjalan lancar, kerajaan Terengganu telah memohon pertambahan vaksin untuk diberikan ke kawasan merah.

"Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara telah membangkitkan perkara ini.

"Kita mahu vaksin diutamakan ke tempat-tempat yang mempunyai kes tinggi seperti Dungun dan Kemaman.

"Ini sangat penting bagi memastikan 'herd immunity' dicapai dalam kadar segera sekali gus mengelakkan kes terus bertambah, tambahan pula Terengganu merekodkan kadar kebolehjangkitan tertinggi," katanya ketika bersiaran dalam segmen 'Isu Minggu Ini : Apa Jawab YB' di TV Darul Iman semalam.

Dalam perkembangan sama, beliau menyeru seluruh rakyat di Terengganu untuk kekal berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) lebih-lebih selepas varian delta mula dikesan di negeri itu.

"Sekarang bukan masanya untuk kita saling tuduh-menuduh siapa bersalah, itu tidak menyelesaikan masalah.

"Sebaliknya masing-masing ada peranan tersendiri, kerajaan dengan perancangan yang dirangka dan rakyat dengan tindakannya.

"Saling bercakaran mungkin boleh menyebabkan masalah bertambah serius apatah lagi ia perkara yang tidak disukai oleh Allah, jadi mari bersama berganding bahu kita hapuskan wabak ini," jelasnya.

Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia, Terengganu mencatatkan 258 kes hari ini dan kadar kebolehjangkitan setakat semalam adalah 1.36.


Tag: