• 29 Nov 2021 | 23 Rabiul Akhir 1443

Terengganu Mahu Tindakan Drastik Kawal Hasil Perikanan

MARANG, 19 Disember-  Kerajaan Terengganu menggesa tindakan drastik dilaksanakan pihak-pihak berkuasa bagi menyekat aktiviti penjualan hasil perikanan negeri di tengah laut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Azman Ibrahim, menjelaskan bahawa kerajaan negeri memandang serius isu berkenaan serta telah menggerakkan gabungan agensi di peringkat negeri untuk membawa masalah tersebut ke peringkat Persekutuan.

"Kerajaan negeri telah panggil pihak berkuasa antaranya Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Perikanan dan kami disahkan berlakunya penjualan ikan-ikan bernilai tinggi di tengah-tengah laut dan dibawa ke negara asing iaitu vietnam menyebabkan kadar pendaratan hasil ikan di Terengganu masih rendah.

"Ini turut dibuktikan apabila majoriti bot-bot nelayan Vietnam yang dilesenkan atas nama pemilik tempatan didapati mendaratkan hasil tangkapan bernilai rendah di pelabuhan Chendering," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Agihan Bantuan Nelayan Kawasan Marang di Dewan Tok Guru, Kampung Rusila, Marang, hari ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh.

Jelas Dr. Azman, masalah tersebut turut membabitkan kelonggaran penguatkuasaan terhadap nelayan asing yang berkerja dengan pemilik bot tempatan.

"Kita sudah ada undang-undang tetapi penguatkuasaan ini yang perlu, kerana kita tengok bagaimana kelonggaran penguatkuasaan berlaku apabila ada lebih 1000 nelayan asing yang berkerja di Terengganu, tetapi yang mempunyai pas lawatan kerja sementara hanyalah 24 orang.

"Bagaimana pemilik bot tempatan boleh menggaji nelayan asing, namun dalam masa sama mereka tidak mempunyai pas lawatan kerja sementara serta mereka boleh naik ke darat bergaul dengan masyarakat tempatan, dalam keadaan mereka  sebenarnya tidak dibenarkan jejak bumi Malaysia tanpa dokumen-dokumen yang diperlukan tadi," katanya.

Tambahnya, di peringkat pusat ahli parlimen Marang turut memberi jaminan akan berbincang dengan menteri berkaitan supaya isu terbabit diambil perhatian dengan serius oleh semua pihak.

"Kalau kita hendak industri perikanan kita melonjak naik ke hadapan, memang kita perlu ambil satu tindakan drastik dan berani serta sanggup ambil risiko," katanya.

Dalam majlis berkenaan, seramai 250 nelayan Kuala Marang menerima sumbangan berupa beras dan barangan keperluan bagi membantu meringankan beban mereka di musim tengkujuh.

 


Tag: