• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Majukan Lebih 1,000 Hektar Tanah Terbiar

KUALA TERENGGANU, 7 April – Terengganu kini berada pada kedudukan kedua selepas Pahang apabila berjaya memajukan lebih 1,000 daripada 8,000 hektar tanah terbiar di negeri ini dengan pelbagai projek pertanian sejak 2008.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, paling istimewa Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai peruntukkan sendiri dalam program memajukan tanah terbiar sebanyak RM1 juta setiap tahun.

 “Sebanyak RM1 juta diperuntukkan pada tahun lepas dan untuk tahun ini, jumlah sama diberikan. Dengan peruntukkan ini, kita beri geran sebanyak RM20,000 bagi setiap hektar tanah terbiar yang akan dipulihkan.

“Geran ini untuk pembinaan infrastruktur seperti pagar, sistem perparitan dan proses bersih tanah supaya ia boleh dibangunkan semula,” katanya selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Media di Hotel Paya Bunga, di sini semalam.

Katanya lagi, tanah terbiar bermaksud tanah milik individu atau syarikat seluas lebih 0.4 hektar yang tidak dimajukan selama tiga tahun berturut-turut. 

Sementara itu, Dr Azman berkata , satu permohonan telah dibuat  kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri  bagi peruntukan tambahan Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu.

“Ini kerana peruntukan sedia ada telah habis disalurkan kepada lebih 600 petani, penternak danpengusaha ikan sangkar yang terjejas akibat banjir pada akhir Februari lepas,”ujarnya.