• 08 Nov 2024 | 06 Jamadil Awal 1446

Terengganu Milik Semua Rakyat

BANGI, 11 Julai - Setiap rakyat Terengganu memainkan peranan penting dalam memastikan negeri ini terus membangun dan maju dengan menyumbangkan kepakaran dalam bentuk idea, cadangan dan teguran kerana ia merupakan hak semua bukannya milik pihak-pihak tertentu.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, adalah diharapkan setiap rakyat berganding bahu memajukan negeri ini dari segi pembangunan, ekonomi untuk terus memacu kesejahteraan hidup rakyat.

Ujarnya, menjadi harapan besar juga agar golongan terpelajar daripada kalangan mahasiswa dan mahasiswi melontarkan pandangan untuk diambil perhatian dalam memastikan Terengganu terus memacu kejayaan serta mengekalkan kecemerlangan.

"Terengganu ini bukan hak saya, bukan hak mana-mana ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKN). dan bukan juga hak pegawai kerajaan tetapi milik kita semua sebagai rakyat Terengganu.

"Kerana itu setiap orang perlu memainkan peranan walaupun sekecil mana pun, semuanya itu menyumbang kepada (kejayaan) negeri Terengganu," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika program Town Hall Mahasiswa Perantau 2023 "MB Nok Juppe" di bangi Convention Centre, kelmarin.

Mengulas lanjut katanya, pertemuan berkenaan sangat bermakna untuk mendegar segala pandangan serta idea-idea baru yang dilontarkan sepanjang sesi dialog itu diadakan.

"Segala cadangan, buah fikiran yang disebur oleh saudara saudari (mahasiswa dan mahasiswi) sebentar tadi, semuanya masuk dalam kepada kami untuk dibuat pertimbangan dalam (membantu) mengurus tadbir negara dan negeri kita ini, insya-Allah,"ujarnya.