• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Model Terbaik Kerjasama Persatuan Sukan Dan IPTA

KUALA NERUS, 29 September - Kerjasama antara kerajaan negeri, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan badan persatuan sukan dalam pemantapan sektor sukan negeri mampu menjadi contoh kepada negeri lain.

Pesuruhjaya Sukan Malaysia, Dr. Wirdati Md Radzi menyatakan rasa kagum dan bangga terhadap komitmen persatuan-persatuan sukan negeri dan MSNT dalam memperkasakan pembangunan sukan negeri.

“MSNT membuka ruang jalan dalam pemantapan kerjasama pendidikan sukan. Kerjasama rapat antara persatuan sukan negeri bersama IPTA di Terengganu seperti Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan kolaborasi pertama kali yang saya lihat.

“Bentuk kerjasama ini boleh menjadikan Terengganu sebagai ‘role model’ atau contoh kepada negeri lain. Ini kerana usaha sebegini sedang dirancang pihak kami tetapi ia sudah wujud di Terengganu.

“Kolaborasi ini perlu dikekalkan dari segi momentumnya supaya peningkatan kemahiran dan pengetahuan pengurusan sukan dapat membantu dalam memantapkan sektor tersebut," ulasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemubual pemberita selepas Majlis Penutup Seminar Tadbir Urus Badan Sukan Yang Cekap Dan Berkesan Negeri Terengganu di Dewan Auditorium 1, Stadium Tertutup Negeri Terengganu, Gong Badak, petang semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Timbalan Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahya, Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan, Siti Nazariah Abd Razak dan Penolong Pengarah MSNT, Nasree Najmi.

Seminar tersebut melibatkan lebih 100 kakitangan daripada 40 persatuan sukan negeri, semua majlis sukan daerah, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) dan Urusetia Belia dan Sukan Negeri Terengganu (UBSNT).

Sementara itu, Hishamuddin berkata, seminar itu merupakan sambungan daripada tahun-tahun lepas sebagai tanda pengiktirafan kepada sektor sukan Negeri Terengganu. MSNT terus memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecekapan tadbir urus sejajar dengan ‘roadmap’ tahun 2030 yang dirangka.

“Agenda individu serta pertelingkahan perlu diketepikan atau diselesaikan. Kita perlu mengutamakan sifat kebersamaan supaya mencapai objektif serta pembangunan sektor sukan negeri.

“Kita boleh berbangga dengan sukan basikal, layar dan seumpamanya, tetapi kita juga ingin terus melakar kejayaan dan kecemerlangan dalam bidang sukan lain bersama anak-anak Terengganu,” katanya.

 


Tag: