• 20 Sept 2021 | 12 Safar 1443

Terengganu Mohon Rentas Daerah Dibenarkan

KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Kerajaan Terengganu akan memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri pada esok agar rentas daerah dalam negeri terbabit dibenarkan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, permohonan kelonggaran itu bagi membolehkan sektor pelancongan negeri berjalan seperti biasa bagi menjana kembali pendapatan industri itu yang terjejas teruk akibat COVID-19.

"Kita akan mengesyorkan kebenaran rentas daerah dalam mesyuarat MKN pada esok (Selasa) bagi membantu meningkatkan sektor pelancongan di negeri ini yang kini dilihat semakin merosot.

"Kita jangka dengan kebenaran rentas daerah yang diberikan ia akan meningkatkan sehingga 30 peratus kadar penginapan hotel berbanding kurang daripada 10 peratus yang diperoleh kesemua pengusaha hotel buat masa ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (Berkat) PKP 2.0 bagi sektor pelancongan di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri, di sini hari ini.

Menurut Ariffin, kebenaran rentas daerah turut akan memberi harapan baharu kepada pemain sektor berkenaan.

“Permohonan ini dikemukakan memandangkan situasi COVID-19 di negeri ini dilihat semakin stabil, termasuk hanya empat kes dilaporkan hari ini.

Jelasnya, permohonan itu bagaimanapun tidak melibatkan lokaliti di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Jika dilihat sekarang, banyak pengusaha hotel mengambil inisiatif berniaga di tepi jalan untuk memastikan kelangsungan operasi memandangkan kerugian yang dialami.

"Sektor pelancongan antara sektor terjejas teruk sepanjang pandemik. Kita harap kebenaran yang diberikan akan memberikan sinar baharu kepada semua pemain sektor ini," katanya.
 


Tag: