• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Naikkan Bantuan Bulanan Asnaf

KUALA TERENGGANU, 26 September- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menaikkan kadar bantuan bulanan bagi golongan asnaf daripada RM300 kepada RM500.

Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penambahbaikan itu dilakukan bermula awal bulan lalu selepas mengambil kira keadaan semasa.

"Tambahan bantuan itu bagi membantu meringankan bebanan mereka berikutan kenaikan harga barangan.

"Seramai 609 golongan asnaf termasuk fakir dan miskin menerima bantuan bulanan daripada MAIDAM buat masa ini, " ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Duyong Marina Resort di Pejabat MAIDAM, hari ini.

Pada majlis tersebut, Shaikh Harun yang mewakili MAIDAM menerima replika cek bayaran zakat perniagaan berjumlah RM38,143.68 daripada Pengurus Besar Duyong Marina Resort, Wan Mohd Faizul Wan Abas. 

Sementara itu, mengulas mengenai sasaran kutipan zakat tahun ini, Shaikh Harun berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM260 juta.

"Setakat ini kita berjaya membuat pungutan zakat sebanyak RM160 juta dan dengan berbaki lebih kurang tiga bulan lagi kita yakin sasaran ditetapkan akan tercapai kerana kebiasaannya ramai yang membuat bayaran zakat pada akhir-akhir tahun," katanya.