• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Terengganu Optimis Kekal Juara SUKMA Johor - MB


KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar optimis kontinjen Terengganu mampu mengukuhkan kedudukan sebagai juara bertahan Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 pada kejohanan dwitahunan yang akan berlangsung di Johor bermula 11 hingga 19 Julai ini.

Katanya,  selain persiapan awal serta strategi yang diatur oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu bersama setiap pengurusan pasukan dan jurulatih sukan masing-masing, Terengganu turut melantik bapa dan jabatan angkat untuk setiap sukan yang disertainya.

Sasaran kita untuk kekalkan kejuaraan, kita ada strategi dan kita buat secara bertahap malah mekanisma yang kita gunakan bagi persediaan kontinjen SUKMA Terengganu pada kali ini juga telah kita laksanakan pada SUKMA 2018 yang lalu yang mana kita berjaya merampas piala kejuaraan SUKMA 2018 setelah kali terakhir kita berjaya laksanakannya pada tahun 2012 di SUKMA Pahang .

“Termasuklah dengan pelantikan bapa-bapa angkat ini yang akan memainkan peranan mereka dengan memberi nasihat dan motivasi kepada ahli-ahli sukan di bawah jagaannya,” ujar beliau.

Ahmad Samsuri berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pentauliahan Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukma Johor 2020 di Wisma Darul Iman, hari ini.


Pada majlis berkenaan, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zainal Abidin Hussin dilantik sebagai Ketua Kontinjen SUKMA Terengganu 2020.

Sementara, Pengarah Tanah dan Galian negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil sebagai Timbalan Ketua Kontinjen I dan Pengarah Pelancongan Negeri, Ab Rasid Jusoh sebagai Timbalan Ketua Kontinjen II.

Mengulas mengenai pelantikan berkenaan katanya, beliau yakin hasil gandingan mantap antara ketua kontinjen dan kedua-dua timbalan yang sangat berpengalaman dalam pembangunan sukan negeri itu akan memberikan kekuatan yang luar biasa kepada kontinjen Terengganu, seterusnya mencipta rekod pencapaian terbaik.

“Pertama kali bagi SUKMA, kita melantik dua orang timbalan ketua kontinjen pada satu masa, kerana kita memerlukan tumpuan yang lebih dengan pertambahan bilangan sukan serta acara, dan saingan yang sangat mencabar kali ini terutama daripada kontinjen tuan rumah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan kepada para atlet yang akan mengambil bahagian dalam 29 acara supaya sentiasa menjaga kesihatan.

“Di samping  menjaga disiplin serta solat fardu dan memperbanyakkan solat-solat sunat dan solat hajat, kekalkan semangat yang telah dipupuk, berlatihlah dengan sekuat mungkin serta mantapkan keyakinan diri supaya mendapat pingat emas di SUKMA nanti.

“Berkat kerjasama semua, hasrat kepimpinan serta seluruh rakyat negeri yang ingin melihat kontinjen Terengganu mengekalkan kejuaraan di SUKMA Johor, semoga ianya mampu direalisasikan dan saya yakin harapan dan tanggungjawab yang diberikan mampu dilaksanakan dengan syarat melalui usaha yang  terbaik dan sentiasa menghubungkan diri dan pengharapan kepada Allah SWT,” ujarnya.

Tag: