• 28 Jul 2021 | 18 Zulhijah 1442

Terengganu, Pahang Perkukuh Kerjasama

KUANTAN, 6 April - Pertemuan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan Pahang menjadi simbolik kepada pengukuhan kerjasama dalam bidang legislatif antara dua negeri pantai Timur itu.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, lawatan yang diadakan itu juga merupakan kesinambungan kepada mengukuhkan hubungan sedia ada di antara dua negeri berkenaan.

"Pengalaman-pengalaman yang ada di setiap badan dalam dua negeri ini boleh saling dimanfaatkan untuk kesejahteraan di masa hadapan,"ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan kunjungan hormat ke DUN Pahang, semalam.

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Dato Seri Wan Rosdy Wan Ismail, serta Yang DiPertua DUN Pahang, Dato' Seri Ishak Haji Muhamad. .

Mengulas lanjut, Yahaya menyifatkan perpaduan yang ada pada hari ini melalui Muafakat Nasional perlu digunakan sebaik mungkin demi menjamin kelangsungan Melayu Islam.

Jelasnya, ia menjadi hasrat semua pihak di negara ini untuk memastikan tidak lagi timbul konflik yang membawa kepada pergeseran yang tiada kesudahan.

"Saya tidak boleh jadi pemegang polisi parti tapi apa yang saya suarakan ini daripada sudut harapan rakyat.

"Hubungan yang sedia ada ini perlu diperkukuhkan sama ada Pahang, Terengganu ataupun mana-mana negeri," ujarnya

Sementara itu, Ishak berkata pertemuan antara dua badan itu membincangkan penambahbaikan untuk kedua-dua badan perundangan.

"Sudah sampai masanya sesetengah 'Standing Order's' pada tahun 1959 dikaji kembali melalui kewujudan panel kajian secara bersama kedua-dua negeri ini.

"Kita akan cari formula bagaimana hendak mempastikan kualiti ,mutu dan prestasi dewan dalam melayani ahli-ahli dewan yang tentunya datang dari pelbagai latar belakang parti politik.

"Kita perlu berperanan lebih efektif dan progresif untuk memastikan dewan kita ini sentiasa segar dan bermutu tinggi,"katanya.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, kunjungan delegasi dari Terengganu itu merupakan satu pengiktirafan yang diberikan kepada negeri Pahang.

"Dalam masa yang sama menjalinkan ikatan yang lebih kukuh antara dua kerajaan, walaupun hubungan sudah ada, kita perkemaskan lagi dan disimpul mati,"ujarnya.

 

 


Tag: