• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Pemain Utama Industri Minyak Dan Gas

 

Oleh : Mastura/Fakrusy.

SETIU, 6 September - Menteri Kewangan, Tengku Dato' Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyifatkan industri minyak dan gas merupakan tulang belakang kepada ekonomi negeri Terengganu. 

Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) Terengganu untuk sektor minyak dan gas pada tahun 2019 mewakili 34 peratus atau sebanyak RM 12.3 billion. 

"Terengganu merupakan pemain kuat dalam industri tersebut, memfokuskan di Kertih dan Kemaman. Lokasi tersebut telah menarik pelaburan asing dan menaikkan peluang pekerjaan setempat.

"Pada tahun 2007 sehingga 2019, jumlah pelaburan di Terengganu mencecah RM4.6 billion ringgit, turut menyediakan lebih 3,000 peluang pekerjaan dalam sektor tersebut, hasil daripada pertapakan industri tersebut di Terengganu. 

"Pada tahun 2019, produk perlombongan dan petroleum menyumbang kepada 10 peratus bersamaan RM140 billion ringgit pengeluaran, sebanyak 20 peratus daripada eksport Malaysia," ujarnya.

Beliau berkata demikian di sesi Focus Group Penggiat Industri Minyak, Gas & Petrolium di Institut Teknologi Petrolium Petronas (INSTEP), Batu Rakit, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin, Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar dan Timbalannya, Muhammad Khalil Abdul Hadi. 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) , Baidzawi Che Mat dan Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi A Rahman.

Terdahulu, Tengku Zafrul mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam rangka lawatan rasmi ke Terengganu selama dua hari mulai semalam.

Antara pengisian lawatan daripada delegasi  Kementerian Kewangan ke Terengganu juga adalah untuk berjumpa dengan wakil persatuan dan pengusaha industri pelancongan yang terkesan akibat COVID-19 serta wakil-wakil industri minyak, gas dan petrokimia.


Tag: