• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Penyumbang Terbesar Dana Turkiye dan Syria

KUALA LUMPUR, 26 Mac – Terengganu muncul sebagai negeri penyumbang terbesar bagi dana bantuan kemanusiaan menerusi Aid For Turkiye & Syria di bawah PASRelief.

Sebanyak RM1.37 juta telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan kerajaan negeri, Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu dan Menteri Besar Incorperated.

Nilai tersebut melebihi separuh daripada jumlah keseluruhan yang terkumpul RM2.5 juta bagi membantu mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

Dalam program Majlis Iftar Kutipan Dana Bantuan untuk mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria di Hotel Grand Barakah semalam, replika cek sumbangan bernilai RM500 ribu daripada Kerajaan Negeri Terengganu telah diserahkan Setiausaha Politik Menteri Besar, Muhyiddin Rashid.

Sementara itu, sebanyak RM40 ribu lagi diserahkan Pengerusi Menteri Besar Incorperated, Mazli Zakuan Mohd Noor dan RM700 ribu pula diserahkan Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu, Senator Dato' Ustaz Husain Awang.

Untuk rekod, lebih separuh daripada jumlah kutipan keseluruhan sudah diagihkan kepada penduduk Turkiye dan Syria yang dilakukan pada awal bulan ini menerusi rombongan Exco kerajaan Terenganu.

Sumbangan tersebut digunakan untuk membantu mangsa gempa bumi dalam menyediakan kontena rumah sementara, makanan dan keperluan harian. 

Sebelum ini juga sebanyak RM1.2 juta telah diagihkan oleh Aid For Turkiye & Syria untuk pelbagai bantuan seperti pek makanan, pakaian, khemah, duit saraan hidup dan kontena rumah sementara.


Tag: