• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Terengganu Perintis PPV Rumah Ibadat

KUALA TERENGGANU, 3 Julai – Terengganu menjadi negeri perintis dalam penguatkuasaan garis panduan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) rumah ibadat yang akan dilaksanakan di seluruh negara tidak lama lagi.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, setelah mendapat perhatian seluruh Malaysia dan sokongan Perdana Menteri, projek perintis di Masjid At-Taqwa Durian Burung telah menjadi rujukan buat Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF).

“Garis panduan PPV itu telah dibentangkan Akademi Sains Malaysia dan diluluskan CITF Pusat, sehingga kini kita masih ada masa untuk penambahbaikan.

“Namun begitu, sambutan oleh masyarakat terumanya umat Islam amat positif dan banyak permintaan untuk membuat PPV di seluruh negara.

“Hasrat kita ia dapat dikembangkan ke negeri lain menggunakan model daripada pelaksanaan di Kuala Terengganu, dengan modul ini ia bertindak sebagai rujukan supaya tiada lagi isu pengarahan dan kekeliruan tatakerja,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas tinjauan PPV Masjid di SMK Imtiaz Kuala Terengganu di Kampung Banggol Karah, pagi tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Limbat, Ariffin Deraman dan pengerusi Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) Terengganu, Dr. Muhammad Zuraizi Jaafar.

Jelasnya yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu, sasaran PPV Masjid ketiga dalam negeri di Sekolah Menengah Imtiaz adalah seramai 300 orang pada hari ini.

“Hasil perbentangan CITF Terengganu baru-baru ini, PPV masjid menyasarkan 16 ribu dos, mengikut penghantaran dos vaksin baharu yang banyak sekitar 440 ribu dos vaksin pada bulan Julai ini," jelasnya.