KUALA TERENGGANU, 28 Oktober – Kerajaan negeri terus memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti melalui pengurusan kawasan perlindungan, penyelidikan saintifik dan kerjasama strategik bagi memastikan kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, usaha itu termasuk memperkasa Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu (MPTN) serta meningkatkan penyelarasan pengurusan kawasan perlindungan bagi memastikan khazanah alam negeri terus terpelihara.
Beliau memaklumkan, menurut laporan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Terengganu mempunyai lebih daripada 40 spesies tumbuhan endemik.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Biodiversiti Terengganu 2026 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian seminar tersebut.
Seminar bertemakan Acting Locally for Global Impact: Empowering Terengganu’s Biodiversity for Global Sustainability itu membincangkan aspek keselamatan makanan, pemuliharaan marin, mata pencarian mampan, penyertaan golongan belia dan penjagaan alam sekitar berteraskan Islam.

“Antara kawasan yang diberi perhatian termasuk Taman Negeri Tanah Bencah Setiu yang meliputi lebih 29,000 hektar, Taman Negeri Tasik Kenyir dan Taman Negeri Pulau Tenggol.
“Selain itu, pewartaan melibatkan Pulau Bidong dan Pulau Karah pada tahun ini di bawah pentadbiran MPTN turut memperkukuh kerangka pemuliharaan, penyelidikan dan perlindungan marin,” ujarnya.