• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Perkemas Strategi Didik Wanita Berhijab Sempurna

KUALA TERENGGANU, 12 Februari – Kerajaan negeri memperkasakan usaha pendidikan pemakaian hijab yang sempurna kepada kaum wanita islam negeri ini menerusi usaha dakwah jalanan di kesemua lapan daerah bermula bulan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, usaha menyantuni kaum hawa muda serta penjawat awam dari Kemaman sehingga Besut adalah kesinambungan daripada sambutan Hari Hijab Terengganu 2022.

“Gelombang ini akan digerakkan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) akan mengedarkan risalah garis panduan pemakaian tutup aurat buat wanita.

“Selain itu, stokin tangan dan tudung juga akan diedarkan secara percuma di kawasan tumpuan masyarakat seperti di pusat membeli belah dan pesisir pantai.

“Inisiatif ini adalah tanda prihatin bahawa kerajaan bersama dengan rakyat, tepat dengan usaha memudahkan wanita Terengganu menyempurnakan pemakaian hijab mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual selepas majlis perasmian Terengganu Hijab Day bertempat di Dewan Perpustakaan Negeri Terengganu, pagi tadi.

Turut hadir, Pengarah USWa, Wan Nur Sakinah Din.

Menjelaskan tentang perancangan masa hadapan, Zuraida berkongsi pembikinan garis panduan pakaian patuh syariah melibatkan pelbagai sektor seperti sukan, sukan perairan, hiburan dan pelancongan.

“Pihak kami masih meneliti dan mengambil kira pandangan golongan wanita dan pelbagai pihak bagi memastikan kaedah terbaik tanpa mengabaikan tuntutan syariah dan urusan kerja.

“Setelah diutarakan dalam Sidang DUN baru-baru ini, pemerkasaan garis panduan ini tidak drastik kerana kita tidak mahu ada unsur paksaan,” katanya lagi.

Sementara itu, acara kemuncak Sambutan Terengganu Hijab Day 2022 mendapat sambutan menggalakkan daripada kaum wanita.

Ia diisi dengan aktiviti menarik seperti pertandingan persembahan fesyen bertemakan batik, gerai jualan dan forum 'hijabista'.