• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Terengganu Perkenal E-Anak Susuan Elak Kahwin Sesama Saudara

KUALA TERENGGANNU, 30 Disember - Terengganu bakal memperkenalkan aplikasi e-Anak Susuan pada Februari 2022 bagi mengelak berlakunya perkahwinan sesama mahram susuan.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mokhtar Salleh berkata, melalui kemudahan itu pihak berkaitan boleh mengetahui pertalian semua saudara mahram susuan.

Katanya, setiap pemohon sama ada anak, ibu, bapa susuan dan mana-mana pihak berkaitan layak menerima sijil atau kad daftar.

"Sistem ini dibangunkan kumpulan penyelidik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang diketuai Ketua Penyelidik iaitu Pensyarah Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Dr Siti Fatimah Salleh.

“E-Anak Susuan dianggap penting bagi membendung berlakunya gejala perkahwinan sesama saudara susuan.

“Pada masa sama mampu memberi kaedah dan jalan penyelesaian kepada permasalahan  masyarakat semasa yang timbul berkaitan dengan anak susuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas Bengkel Dokumentasi Anak Susuan di Hotel Permai hari ini.

Program itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita, Zuraida Md Nor.

Sementara itu, Dr Siti Fatimah berkata pihaknya terpanggil mewujudkan aplikasi itu selepas menyedari ramai ibu yang menyusu bayi tanpa merekodkan maklumat anak susuan..

“Rekod peribadi mereka yang berkaitan sangat diperlukan bagi memudahkan mengesan saudara susuan apabila dewasa kelak, selain mengelak pelbagai kemungkinan berlaku termasuk perkahwinan antara saudara dan  adik-beradik susuan,” katanya.

 

 


Tag: