• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Peruntuk RM240,000 Bantu Pengusaha Beca

KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperuntukkan sebanyak RM15,000 untuk setiap beca yang beroperasi di Payang Walk di sini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata buat masa sekarang terdapat 12 beca yang telah menjalankan beroperasi.

Katanya, empat lagi beca dalam proses ubah suai menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 16 beca bakal beroperasi nanti.

"Beca tersebut akan dinaik taraf secara berperingkat dengan rupa bentuk yang lebih menarik dan dilengkapi kemudahan solar.

"Usaha itu melalui kerjasama pihak MBKT, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

“Saya dah maklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman untuk tambah lagi 10 beca sekiranya mendapat sambutan yang memberangsangkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Menyempurnakan Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan bertempat di Pesisir Payang, Kuala Terengganu di sini kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak, Yang Dipertua Dewan Undangan (DUN) Terengganu, Datuk Yahaya Ali dan Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri.

Tambah Ahmad Samsuri, para peniaga yang ramai juga turut membantu penarik beca dalam mempertingkatkan lagi pendapatan mereka.

“Sebanyak 100 peniaga diberi peluang dalam menjalankan operasi perniagaan di Payang Walk ini.

“Jumlah tersebut akan ditambah hingga maksimum 400 orang sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung," ujarnya.

Sementara itu, pihak MBKT juga telah menyediakan hentian dan laluan khas beca warisan serta lain-lain kemudahan berkaitan di sekitar Pasar Kedai Payang sejauh kilometer.

 

 


Tag: