• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Peruntuk RM7.16 Juta Taja Pelajar Belajar Di UK, Jordan

KUALA TERENGGANU, 24 Ogos- Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM7.16 juta bagi tajaan biasiswa kepada 16 anak Terengganu yang cemerlang untuk menyambung pengajian peringkat ijazah pertama ke United Kingdom (UK) dan Jordan bagi tempoh pengajian antara tiga hingga lima tahun.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu seramai empat pelajar adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 yang baru sahaja menamatkan pengajian A-Level dan akan menyambung pengajian ke UK.

“Manakala 12 pelajar lepasan SPM 2021 pula akan ke Jordan dimana kesemua mereka yang juga penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang (SPC) dijadualkan berangkat ke UK dan Jordan pada pertengahan September ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Dan Bantuan Persediaan Penerima Biasiswa SPC Luar Negara Tahun 2022 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, sejak Tabung Biasiswa SPC Negeri Terengganu dilancarkan pada 2019, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun untuk membiayai pengajian anak-anak Terengganu yang cemerlang bagi meneruskan pengajian di peringkat Ijazah Pertama sama ada dalam dan luar negara.

“Pemberian biasiswa ini banyak membantu pelajar cemerlang khususnya di kalangan B40 serta M40 dan sekaligus merangsang semangat anak-anak pelajar untuk terus cemerlang dalam peperiksaan SPM, STPM dan STAM.

“Sehingga kini, seramai 601 pelajar cemerlang lepasan SPM, asasi/matrikulasi, STPM dan STAM telah menerima skim biasiswa ini bagi mengikuti pengajian peringkat persediaan dan ijazah pertama dalam pelbagai bidang.

“Daripada jumlah itu, seramai 516 pelajar mengikuti pengajian di universiti awam dalam negara manakala selebihnya mengikuti program pengajian luar negara dalam bidang-bidang kritikal seperti perubatan, pergigian, kejuruteraan, sains, perakaunan dan al-Quran Wal Qiraat,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan negeri melalui kolaborasi antara YT dan Terengganu Inc (TI) juga bersetuju menubuhkan Tabung Biasiswa YT-TI bagi menaja pelajar cemerlang lepasan SPM/STPM serta lepasan asasi/matrikulasi dalam pelbagai bidang peringkat Ijazah Pertama.

Katanya, sebagai permulaan pada tahun ini, TI bersama anak-anak syarikat akan menyumbang sebanyak RM500,000 kepada tabung berkenaan dengan tajaan akan diberikan kepada bidang-bidang tertentu.