• 21 Apr 2024 | 12 Syawal 1445

Terengganu Raih Gelaran Pasukan Terbaik TMC

KUALA TERENGGANU, 2 Januari – Terengganu meraih gelaran pasukan terbaik keseluruhan dalam kejohanan Terengganu Monsoon Challenge (TMC) 2021.

Manakala gelaran pelayar terbaik pula diungguli Iqbal Nazham Musmuliadi daripada pasukan Kedah.

Kemenangan itu menyaksikan kesemua mereka menerima hadiah piala pusingan dan wang tunai.

Timbalan Pengerusi TMC, Mohd Hafizi Said yang juga Pengarah Pusat Latihan Pelayaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, sebanyak 213 penyertaan diterima membabitkan semua peringkat usia termasuk daripada atlet paling muda berusia lapan tahun.

“Ia satu perkembangan dan peluang yang baik dalam mencungkil bakat-bakat muda, mereka akan menjadi aset negara seterusnya mampu mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Kita juga berjaya menghidupkan kembali sukan pelayaran melibatkan atlet orang kurang upaya (OKU) dengan penyertaan seramai enam orang pada TMC kali ini,” katanya pada majlis penutup dan upacara penyampaian hadiah TMC 2021 di sini, hari ini.

Upacara penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

Menurut Mohd Hafizi lagi, penganjuran TMC 2021 adalah satu kejayaan bagi  semua pihak dan memberi impak yang besar kepada ‘keluarga pelayaran’ negara, setelah sekian lama tidak dapat bertanding secara fizikal.

“Disebabkan oleh penularan COVID-9 yang mana tidak ada sebarang kejohanan dianjurkan.

“Uniknya TMC berbanding regatta lain, TMC memberi peluang kepada pelapis dan amatur ruang dan peluang untuk mencari pengalaman bertanding. Di Terengganu kita telah ada lebih 60 pelayar pelapis yang dicungkil bakatnya melalui beberapa siri program sepanjang 2020 dan 2021,” katanya.

TMC 2021 mempertandingkan sebanyak 5 kategori iaitu Fleet Race, Pelapis & Bakat Fleet Race, Umt-Ipt Open, Optimist Team Race, Hansa (Handicap Sailing) Access 2.3.

 


Tag: