Berita :
Terengganu Rancang Anjur Kejohanan Bot Laju Bertaraf Dunia 'Musim Tengkujuh'
Terengganu Rancang Anjur Kejohanan Bot Laju Bertaraf Dunia 'Musim Tengkujuh'
Rohayati Ripin
15 Jun 26
7

KUALA TERENGGANU, 15 Jun – Terengganu dijangka menjadi tuan rumah 'Terengganu F3000 Powerboat World Championship 2026' pada Disember tahun ini, dengan sasaran kehadiran sekitar 100,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan negeri hari ini menerima pembentangan awal daripada pihak penganjur dan Kelab Sukan Powerboat F3000 berhubung cadangan penganjuran kejohanan bertaraf dunia itu.

Menurut beliau, pelbagai aspek termasuk keperluan teknikal, penganjuran dan potensi impak ekonomi serta pelancongan telah dibincangkan bagi memastikan kejohanan tersebut dapat dilaksanakan dengan jayanya.

“Bagi Kerajaan Negeri, kejayaan penganjuran bukan hanya diukur melalui jumlah kehadiran penonton dan pelancong semata-mata, tetapi juga sejauh mana ia mampu mempromosikan Bandaraya Persisir Air Kuala Terengganu sebagai destinasi pelancongan dan sukan air bertaraf antarabangsa," jelasnya.

Menurutnya, penganjuran pada musim Monsun Timur Laut turut dilihat berpotensi merancakkan sektor pelancongan negeri ketika tempoh yang lazimnya dianggap luar musim, sekali gus memberi manfaat kepada peniaga, pengusaha pelancongan dan komuniti setempat.

Katanya Razali, klejohanan yang dijadual berlangsung selama tiga hari itu dijangka menghimpunkan 12 pelumba terbaik dunia dalam kategori F3000, selain turut menampilkan Powerboat T750 Championship Race serta pelbagai acara sampingan.

"Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri menggalakkan penganjuran sukan air tradisional dan aktiviti komuniti agar rakyat tempatan dapat turut serta serta merasai manfaat daripada penganjuran acara antarabangsa tersebut. 

"Kerajaan Negeri optimis kejohanan ini mampu memberi limpahan ekonomi yang signifikan kepada peniaga, pengusaha pelancongan, penginapan dan komuniti setempat, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Terengganu sebagai destinasi utama pelancongan dan sukan air negara," ujar Razali.

Menurut beliau, jika perancangan berjalan seperti dijadualkan, Terengganu bakal menjadi tumpuan peminat sukan permotoran air dunia pada penghujung tahun 2026 sekali gus mengukuhkan imej negeri itu sebagai destinasi utama pelancongan dan sukan air bertaraf antarabangsa.

Selain itu, program sebegini untuk memberi kesedaran dan minat masyarakat terhadap sukan air.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan