• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Rintis Perpustakaan Digital DUN

KUALA TERENGGANU, 3 November – Terengganu muncul sebagai perintis kepada projek Perpustakaan Digital Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berperanan memantapkan badan legislatif dalam negeri sebagai institusi bermaklumat.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, pihaknya mengadakan kerjasama berterusan bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) dalam membina asas sebuah arkib rujukan serta bahan persidangan terdahulu.

“Platform ini akan menjadi kemudahan buat Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengakses maklumat sama ada berkait dengan badan legislatif, dengan pantas.

“Dengan adanya kemudahan ini ia akan mematangkan ADUN dan berperanan sebagai bahan persiapan sebelum bersidang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Pelancaran Perpustakaan Digital DUN Terengganu di Damai Lounge, Tingkat 2, Wisma Darul Iman, pagi tadi.

Tambah beliau, antara sebahagian bahan yang terdapat di dalam platform tersebut berkaitan dengan persidangan DUN daripada awal 1999 sehingga kini serta dokumen bersifat penyelidikan.

“Para ADUN juga boleh mengakses fail daripada DUN lain serta parlimen hasil kolaborasi bersama PPAT,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, inisiatif tersebut adalah penting kearah hasrat memajukan jabatan-jabatan dalam negeri menjadi Kerajaan Digital Pintar menjelang 2030.