• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Terengganu Salur Hampir RM10 Juta Kepada Sekolah Agama Negeri

KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan kewangan tahunan sebanyak RM9.9 juta kepada Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) pada tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, peruntukan itu melibatkan 10 buah SMAN termasuklah SMA Sultan Zainal Abidin Ladang, SMA Khairiah, SMA Sultan Zainal Abidin, SMA Maarif Besut, SMA Setiu, SMA Mahmudiah, SMA Al Falah dan SMA Marang yang beroperasi di negeri terbabit.

“Dana itu kita salurkan setiap tahun bermula 2018, jumlahnya berbeza mengikut keperluan masing-masing.

“Data yang dinyatakan ini juga bagi menjawab tohmahan pihak tertentu yang mengatakan tiada bantuan fiskal/infrastruktur kepada SMAN sejak PAS mentadbir Terengganu tahun 2018,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.

Sementara itu, Satiful turut berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan RM13.7 juta bagi pengoperasian Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan RM3.9 juta untuk Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI).

“Manakala Madrasah Moden Terengganu, Maahad Tahfiz dan Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyong pula masing-masing menerima bantuan RM10.9 juta, RM4.9 juta dan RM0.7 juta.

"Walaupun kerajaan sebelum ini telah menyerahkan SMAN dan Imtiyaz kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dengan status SABK pd tahun 2015, tetapi kerajaan negeri masih lagi menanggung lebih 32 guru mengajar serta guru tasmi' bahkan terus membantu sekolah-sekolah ini demi melihat kecemerlangan anak-anak Terengganu terus dipertahankan.

“Ini antara komitmen kita untuk terus mengangkat dunia pendidikan agama di Terengganu, setiap tahun kita beri peruntukan kepada sekolah-sekolah yang ada di bawah kita,” katanya.

Dalam pada itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu, kerajaan negeri turut menyalurkan zakat pendidikan bernilai RM46.83 juta pada 2018, RM41.2 juta (2019) RM32.1 juta (2020), RM33.7 juta (2021) dan RM39.3 juta (2023).


Tag: