• 08 Mei 2024 | 29 Syawal 1445

Terengganu Salur Insentif Khas RM15,000 Kepada Juara Dunia

KUALA NERUS, 13 Disember - Kerajaan negeri menyerahkan insentif khas wang tunai RM15,000 kepada Qabil Irfan Azlan yang muncul juara dunia MiniGP 2023 di Valencia, Sepanyol baru-baru ini.

Dalam usia 11 tahun, Qabil telah mengecapi kejayaan yang cukup membanggakan apabila melakar kemenangan hatrik pada ketiga-tiga siri perlumbaan yang berlangsung di Litar Kart Ricardo Tarmo baru-baru ini sekali gus menobatkannya sebagai juara keseluruhan perlumbaan 160cc.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, insentif itu adalah galakan kepada pelumba cilik berkenaan supaya terus bersemangat untuk mencapai kejayaan.

"Saya berharap kerja keras dan usaha yang dipamerkan oleh adik Qabil dan pelumba cilik lain menjadi insiprasi kepada anak-anak remaja dan rakyat Terengganu untuk terus mengejar impian dan cita-cita masing-masing.

"Saya juga merasakan anak remaja dan rakyat Terengganu perlu mempunyai minda kelas dunia dalam setiap perkara yang dilakukan.

"Apa yang kita lakukan jangan diletakkan had sekadar dalam kampung kita sahaja, atau sekadar dalam negeri sahaja, sasarlah ia hingga ke peringkat antrabangsa. Sebuah kejayaan besar bermula daripada sekilas angan-angan dan cita-cita," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Exclusive Meet And Greet With World Champions FIM Mini GP 2023 (Inisiatif Qabil Irfan), di Litar Permotoran, Gong Badak, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut katanya, meraikan kejayaan Qabil Irfan serta Muhammad Airel Ahmad Marzuki amatlah bermakna dan disambut dengan penuh kesyukuran kerana terpilih mewakili Malaysia ke Kejohanan FIM MiniGP World Series.

Dalam masa yang sama katanya, kerajaan negeri akan sentiasa menyediakan inisiatif khas bagi membantu pelumba-pelumba cilik yang lain untuk turut mengembangkan bakat sehingga ke peringkat antarabangsa.

"Untuk rekod kerajaan negeri membantu membiayai yuran penyertaan mereka di peringkat kebangsaan (RM4 ribu hingga RM5 ribu), kemudian apabila terpilih ke peringkat antarabangsa mereka juga akan dibantu sama ada melalui kerajaan negeri secara terus atau anak syarikat milik kerajaan negeri.

"Kerajaan negeri pada tahun lalu juga telah menyediakan sebuah motosikal dengan harga mencecah RM40 ribu kepada Qabil Irfan sebagai usaha dan persediaan beliau untuk melakukan latihan serta perlumbaan," katanya.

Pada tahun ini pula katanya, kerajaan negeri melalui Terengganu Incorporated Sdn.Bhd. juga telah bersetuju untuk menaja Hakim Danish Ramli yang telah mengharumkan nama Malaysia dan Terengganu khususnya setelah menjadi pelumba Malaysia pertama yang berjaya menjuarai Asia Talent Cup 2022.

"Insya-Allah kerajaan negeri akan terus memberi perhatian dan bantuan kepada pelumba negeri ini untuk terus bersinar di peringkat antrabangsa," katanya.