• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Salur RM13.2 Juta Biayai 29 Pelajar Cemerlang

KUALA TERENGGANU, 22 September - Kerajaan negeri membelanjakan lebih RM13.2 juta bagi menaja 29 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia 2020 melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara di Jordan dan United Kingdom (UK) pada tahun ini.

Kesemua mereka telah mendapat tajaan Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu.

Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Dato’ Mohd Azmi Mohd Daham berkata, biasiswa itu membabitkan 10 pelajar perubatan dengan jumlah tanggungan RM7.9 juta dengan setiap pelajar dibiayai RM790,000 sepanjang enam tahun pengajian.

Katanya, manakala 14 pelajar bidang pengajian islam menerima tanggungan RM1.9 juta untuk tempoh empat tahun (RM133,000 setiap pelajar) dan tiga pelajar pergigian (RM1.7 Juta, RM560,000 setiap pelajar).

“Kesemua 27 pelajar itu bakal menyambung pengajian masing-masing di pelbagai universiti di Jordan.

"Manakala dua lagi pelajar akan ke United Kingdom di mana seorang palajar bakal menyambung pelajaran di Imperial College of London dalam bidang fizik. Jumlah pembiayaan bagi pengajian itu RM1.14 juta (empat tahun).

“Seorang lagi pelajar bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti of Manchester (3 tahun) dengan pembiayaan biasiswa RM630,000,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, kesemua 29 pelajar itu sangat bertuah kerana terpilih daripada keseluruhan pelajar SPM 2020 di Terengganu untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara.

“Anggaplah pembiayaan itu sebagai hadiah terbaik daripada kerajaan negeri, tuntutlah ilmu sebaik mungkin ni negara orang, jaga diri agar tidak tidak terikut-ikut dengan budaya asing dan bawa imej Terengganu di mata dunia.

“Kamu semua adalah wira dan juga bakal pemimpin di masa akan datang,” katanya.

 


Tag: