• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Salur RM65.9 Juta 'Duit Raya' Kepada Rakyat

KUALA TERENGGANU, 15 April - Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM65.9 juta menerusi pemberian 'duit raya' atau bantuan sempena Aidilfitri kepada rakyat di negeri itu pada tahun ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, 'one-off' itu sebagai tanda kesyukuran dan membolehkan orang ramai meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah selepas dua tahun menyambut hari raya dalam keadaan terbatas. 

"Kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberikan Bantuan Khas i-Fitri kepada rakyat Terengganu yang berjumlah RM58.99 juta melibatkan sejumlah 150,947 penerima daripada kategori A dan B.

"Manakala seramai 13,827 penjawat awam Negeri Terengganu Gred 56 dan ke bawah bakal menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri Tahun 2022 berjumlah RM500 bermula 25 April ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memaklumkan, rakyat Terengganu akan menerima manfaat bantuan i-Fitri bermula 17 April ini.

Katanya, bantuan RM400 diberikan kepada isi rumah miskin berpendapatan RM2,500 ke bawah manakala RM250 pula kepada isi rumah berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000.

"Tempoh permohonan Bantuan i-Fitri telah dibuka selama 10 hari pada bulan Mac lalu.

"Pembayaran dijangka bermula seawal 17 April sehingga 23 April di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN)," tambahnya.


Tag: