• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Sasar 10 Pingat Emas Bagi Pasukan Perahu Layar

KUALA NERUS, 20 September - Kerajaan negeri menyasarkan jumlah pingat emas yang tinggi untuk Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 bagi Pasukan Perahu Layar Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan optimis bahawa skuad atlet perahu layar negeri akan menggondol 10 pingat emas pada Sukma Johor berbanding lapan pingat emas pada Sukma Perak edisi-19 pada 2018 lalu.

“Saya diberi mandat sebagai bapa angkat Pasukan Perahu Layar Terengganu. Oleh itu, kita perlu sasar lebih daripada lapan pingat emas yang dipungut pada Sukma Perak yang lalu.

“Saya yakin kerana sebahagian besar atlet kita pernah mewakili negara dan menang di peringkat antarabangsa, bukan setakat di dalam negara.

“Pihak kerajaan juga akan bekerjasama dengan Persatuan Pelayaran dan Luncur Layar Negeri Terengganu dalam menetapkan masa dan tempat untuk pemberian sagu hati sebagai penyuntik semangat kepada para atlet,” katanya.

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada anak-anak atlet atas komitmen menaikkan nama Terengganu di persada kebangsaan dan dunia, semasa menghadiri majlis penutup Kejohanan Liga Layar Terengganu (TSL-TSDP) Siri 2/2020 di Pantai Tanjung Gelam, Kuala Nerus, petang semalam.

“Kejohanan sebegini memberikan peluang yang baik kepada atlet untuk memahirkan diri dalam menghadapi saingan pada Sukma akan datang," tambahnya.

Turut Hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah, Ketua Unit Akademi Majlis Sukan Negeri Terengganu, Mat Noor Bidin serta Ketua Jurulatih Sukan Pelayaran Negeri Terengganu, Abdul Rani Idris.

Menurut ketua jurulatih, antara cabaran dalam aspek persiapan skuad adalah kehilangan masa latihan disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19.

“Cabaran ini dapat diatasi melalui kejohanan seperti ini di mana atlet dapat berlatih bersama skuad Sukma negeri lain.

Beliau mengulas, mereka akan menggunakan tempoh sebelum musim tengkujuh untuk berlatih di Tanjung Gelam kerana suasana dan lokasi yang strategik.

"Pada bulan November, kita akan kembali berlatih di perairan berdekatan dengan Duyong Marina, Pulau Duyong," ujarnya.

Menurutnya, senarai panjang skuad atlet terdiri daripada 25 orang, 17 atlet terpilih akan diumumkan dalam sekitar bulan Disember untuk mewakili negeri di Sukma Johor 2020.

“Dua acara yang bakal dianjur dalam negeri iaitu Liga Layar Siri Ketiga dan Kejohanan Tertutup Jemputan Terengganu pada 13 hingga 16 november di Duyong Marina Resort. Acara sebegini adalah di antara proses pemilihan atlet.

“Kejohanan kebangsaan akan dijangka berlaku sekitar bulan Disember, tuan rumah belum diketahui lagi tetapi ia adalah proses terakhir untuk pemilihan skuad atlet perahu layar negeri," jelasnya.


Tag: