• 06 Jul 2022 | 6 Zulhijah 1443

Terengganu Sasar Kekal Juara, Lantik Bapa Angkat SUKMA

KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Kerajaan negeri hari ini mula mempersiap kontinjen Temasya Sukan Malaysia Ke-20 (SUKMA XX, MSN 2022) dengan misi mempertahan kemenangan selepas edisi terakhir pada 2018 sebagai juara keseluruhan.

Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) bersetuju melantik Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja sebagai Ketua Kontinjen negeri Terengganu untuk sesi kali ini.

Selain itu, pelantikan Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat turut dilakukan bagi melancarkan persediaan pasukan serta atlet negeri.

Setiap acara yang dihantar ke SUKMA XX akan diketuai seorang Bapa Angkat yang terdiri daripada Ahli Parlimen serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan jabatan kerajaan yang terpilih.

Sukan berbasikal bakal diketuai Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim selaku Ahli Parlimen Kuala Terengganu dengan bantuan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) sebagai jabatan yang bertanggungjawab menyelia kebajikan atlet serta pasukan.  

Manakala Timbalan Penegerusi Jawtankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim bersama Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu diberi amanah mengetuai pasukan bola sepak.

Pelantikan yang lebih awal ini dijangka akan merancakkan persiapan atlet serta pasukan dengan pemantauan latihan persaingan yang lebih rapi.

Ia juga menjadi bukti keazaman pihak kerajaan Terengganu dalam mempertahankan kejuaraan.

SUKMA XX, MSN 2022 dijadualkan memulakan tirai temasya pada 29 September sehingga 8 Oktober di Kuala Lumpur selepas tertangguh sejak dua tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.


Tag: