SETIU, 7 November – Kerajaan Terengganu menyasarkan untuk mengembalikan pencapaian pengeluaran padi sehingga 10 metrik tan sehektar menerusi pelbagai pendekatan termasuk penggunaan input pertanian baharu bagi meningkatkan produktiviti tanaman.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato' Dr Azman Ibrahim berkata, penggunaan biostimulan Qarbogrow antara usaha yang sedang dinilai bagi merangsang proses fotosintesis tanaman padi sekali gus membantu meningkatkan hasil pengeluaran.
Menurutnya, percubaan penggunaan produk berkenaan di kawasan Bukit Jeruk melibatkan keluasan 129 hektar menunjukkan perkembangan positif apabila tanaman padi didapati lebih subur dan menghasilkan prestasi yang lebih baik.
Bagaimanapun, katanya, penghasilan padi tidak bergantung kepada satu jenis produk semata-mata, sebaliknya memerlukan kombinasi beberapa input pertanian bersesuaian bagi mendapatkan hasil optimum.
"Kita berharap pada musim pertama tahun depan, penggunaan produk biostimulan Qarbogrow ini boleh dicuba lagi dengan beberapa penambahbaikan untuk melihat dapatan dan hasil yang lebih baik.
"Matlamat kita ialah mencuba pelbagai pendekatan untuk meningkatkan pengeluaran padi. Kita pernah mencapai 10 metrik tan sehektar di Terengganu dan angka itu bukan sesuatu yang mustahil untuk dikembalikan," jelasnya.

Dr Azman berkata, usaha meningkatkan pengeluaran padi negeri turut dilaksanakan menerusi empat strategi utama iaitu mengoptimumkan kawasan sawah sedia ada, membuka kawasan penanaman baharu, meningkatkan kekerapan musim penanaman dan menambah produktiviti hasil bagi setiap hektar.
Katanya, penggunaan Qarbogrow juga tidak memerlukan teknologi atau peralatan kompleks kerana kaedah aplikasinya hanya melalui semburan seperti penggunaan baja dan racun tanaman biasa