• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Sedia Bantu Mangsa Banjir di Johor

KUALA TERENGGANU, 2 Mac - Terengganu akan menghantar pasukan sukarelawannya bagi membantu negeri Johor yang kini sedang berhadapan dengan musibah banjir.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya telah menghubungi Menteri Besar Johor, Dato' On Hafiz Ghazi bagi mendapatkan maklumat semasa mengenai banjir di negeri terbabit pada jam 8.20 pagi ini.

"Saya telah memaklumkan kepada beliau bahawa Terengganu akan mengerakkan pasukan sukarelawan terdiri daripada pelbagai unit seperti T-Volts, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal dan lain-lain bagi membantu proses pembersihan pasca banjir nanti, insya-Allah," ujarnya menerusi facebooknya, di sini, hari ini.

Sehubungan dengan itu, Dr Ahmad Samsuri turut mendoakan agar mereka yang diuji bersabar dan bertabah.

"Semoga rakan taulan di Negeri Johor Darul Takzim tabah dan bersabar dengan ujian ini," ujarnya.

Keadaan banjir di Johor bertambah buruk dengan bilangan mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) melonjak kepada 25,213 orang setakat jam 8 pagi ini.

Mereka membabitkan 7,013 keluarga yang dipindahkan ke 187 PPS yang dibuka di 10 daerah terjejas banjir.

Keadaan hujan lebat berterusan berserta fenomena air pasang menyebabkan keadaan banjir semakin buruk dan menjejaskan ramai penduduk.