• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Terengganu Sedia Bantu Promosi Pelancongan Perlis

KANGAR, 21 Mac – Terengganu sedia membantu Perlis dalam memajukan industri pelancongan negeri terbabit melalui pelbagai pendekatan termasuk penggunaan teknologi digital.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, pihaknya akan meneruskan kerjasama dari semasa ke semasa dan akan war-warkan keunikan Perlis.

“Terutamanya melalui media sosial, masyarakat lebih cepat mendapat maklumat dan kenali perkembangan baharu di situ, bentuk pemasaran ini lebih efektif berbanding dengan kaedah konvensional lain,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kunjung hormat ke delegasi pelancongan Perlis di Taman Eko-Rimba Bukit Ayer di sini, pagi semalam.

Turut hadir,, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof dan Pengarah Pelancongan negeri, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim.

Sementara itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri Perlis, Asmaiza Ahmad berkata, pihaknya mengalu-alukan kunjungan dan sokongan padu kerajaan negeri Terengganu dalam mengiklankan pelbagai tarikan pelancongan yang ada di negerinya.

“Di Perlis, fokus adalah alam semula jadi dan eko-tourism, kita sedia maklum bahawa Terengganu terkenal dengan kepelbagaian tempat menarik di sana juga.

“Melalui kerjasama pemasaran kedua-dua negeri, secara tidak sengaja kita dapat mempromosikan antara dua negeri,” katanya.

Tambah Asmaiza, beliau turut menjemput kedatangan pelancong daripada Terengganu dan menasihati untuk menginap sekurang-kurangnya satu malam bagi pengalaman pelancongan terbaik.

“Antara lokasi eko-pelancongan yang boleh dikunjungi seperti Rimba Herba Perlis, Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Taman Rekreasi Tasik Melati, Gua Kelam dan banyak lagi. Jarak diantara tempat ini juga tidak begitu jauh,” katanya lagi.

Untuk rekod, pelancongan Terengganu miliki lebih 300 ribu pengikut di media sosial seperti ‘page’ media sosial di Instagram dan Facebook antaranya seperti ‘Page’ Facebook ‘Amazing Terengganu’ dengan ‘like’ mencecah 200 ribu.