• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Terengganu Sedia Bantuan Banjir - MB

Dr Ahmad Samsuri sedang  mengukur baju kanak-kanak dalam Program Back To School.
KUALA NERUS, 13 November - Kerajaan Terengganu akan meneliti tahap kerosakan dan kerugian yang dialami mangsa banjir  sebelum menyalurkan kadar sumbangan wang tunai.   

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya tidak mahu menentukan berapa jumlah yang akan diterima sama ada RM500 atau lebih kerana kerugian yang dialami mangsa pastinya tidak sama.

Katanya, sebagai contoh, jika mangsa mengalami kerosakan rumah yang agak teruk atau runtuh, sudah tentu nilai RM500 tidak mencukupi.  Apa yang pasti mungkin dapat lebih daripada nilai itu.

“Setiap perkara akan dinilai dan diteliti oleh pihak yang bertanggungjawab termasuk dari  Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) sebelum bantuan diagihkan bagi tujuan mengelak daripada ketidakadilan dalam agihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Back To School anjuran Epic Berhad, di Mydin Mall, Gong Badak, hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman.

Seramai 80 murid daripada keluarga berpendapatan rendah dan anak yatim menerima sumbangan alat tulis, pakaian dan beg sekolah.

Mereka turut berpeluang bersarapan di restoran makanan segera dan menonton wayang di Paya Bunga Square.


Dr Samsuri turut memberitahu, kerajaan negeri dengan kerjasama beberapa pihak sudah menubuhkan Jawatankuasa Banjir sebagai persediaan awal berdepan bencana yang akan berlaku pada bila-bila masa.

“Setiap agensi telah memainkan peranan masing-masing termasuk mengadakan simulasi banjir, mesyuarat dan perbincangan.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri berharap dan berdoa agar banjir pada tahun ini dan pada masa akan datang tidak seteruk  seperti sebelum ini,” katanya.



Tag: