• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Sedia Hantar Bantuan ke Kedah

KUALA TERENGGANU, 5 Julai - PAS Terengganu menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) bersedia menghantar pasukan sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa banjir kilat di Baling.

Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya menzahirkan rasa sedih dan simpati dengan apa yang menimpa rakyat Baling.

Sehubungan dengan itu,  pihaknya kini sedang menunggu arahan daripada ibu pejabat Khidmat Malaysia sebelum bergerak bersama sukarelawan ke Kedah.

“Kumpulan sukarelawan tersebut akan menghulurkan bantuan kepada kepada mangsa banjir terlibat termasuk membersihkan rumah masing-masing yang dipenuhi lumpur tebal.

“Kita melihat bantuan tenaga kerja amat diperlukan untuk melakukan pembersihan pasca banjir di rumah-rumah mangsa yang terjejas di samping menghulurkan sumbangan keperluan asas seperti barangan makanan, keperluan asas dan dapur rakyat,” ujarnya kepada Urus setia Penerangan Darul Iman ketika dihubungi hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada mangsa dan keluarga yang terjejas termasuk tiga sekeluarga berusia antara 14 hingga 53 tahun yang menjadi korban akibat dihanyutkan arus dalam kejadian kepala air dan banjir di Kampung Iboi, Baling, petang Isnin

“Saya mendoakan agar roh mereka tenang, keluarga yang kehilangan diberikan kesabaran dan ketabahan, kesembuhan segera buat yang cedera, dan keselamatan untuk semua mangsa yang dipindahkan,”ujarnya.

Terdahulu petang semalam, hujan lebat hampir tiga jam di daerah Baling menyebabkan paras air Sungai Kupang melimpah memasuki penempatan penduduk yang berdekatan.

Seramai 1,426 mangsa banjir masih ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan banjir lumpur di daerah itu selepas Sungai Kupang dinaiki air semalam.