• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Sedia Terima Kehadiran Pelancong Asing

KUALA TERENGGANU, 24 Mac – Kerajaan negeri menyatakan kesediaan menerima kedatangan pelancong asing ke Terengganu bagi merancakkan sektor pelancongan negeri sekali gus memulihkan kembali ekonomi penggiat industri terbabit serta peniaga kecil.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, perkara tersebut selaras dengan pengumuman Perdana Menteri berkenaan pembukaan sempadan negara. 

“Keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan keputusan itu (pembukaan sempadan negara) merupakan satu langkah yang baik setelah dunia dilanda pandemik Covid-19.

“Kita menanti arahan lanjut kerajaan pusat dalam menuju fasa peralihan ke endemik terutamanya dalam sektor pelancongan antara negara,” ujarnya.

Ariffin turut berkata, kerajaan negeri telah melakukan persediaan bagi menerima kehadiran pengunjung terutama antarabangsa.

“Kempen Beautiful Terengganu menerusi platform media sosial sedang giat dijalankan di samping kita merancang untuk melaksanakan penggambaran bersama syarikat-syarikat produksi.

“Kerjasama strategik juga dengan syarikat penerbangan seperti AirAsia dan SKS Airways bagi menambah penerbangan juga dibuat,” tambah beliau dalam jawapan bertulis yang ditanya Wan Hapandi (Sura-PAS).

Pada masa sama, pemain industri pelancongan dipastikan menerima suntikan vaksin yang lengkap selain saranan ujian pengesanan kendiri (RTK) kepada pengunjung dan pengusaha.


Tag: