• 15 Mei 2024 | 7 Zulkaedah 1445

Terengganu Silica Consortium Raih Anugerah Amalan terbaik Pembangunan Mineral Asean

Dato' Tengku Hassan (kanan) menyampaikan hadiah penghargaan kepada Tengku Sri Temenggong Raja di  Majlis Sempena Meraikan Anugerah Best Practices In-Non-Metallic Minerals Processing kepada TSC dalam 2nd AMA 2019 dan Pelancaran Projek High Purity Silica oleh TRG Silica (Marang) Sdn Bhd, Merchang Marang, di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu. 
KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada Syarikat Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd (TSC) kerana memenangi Anugerah Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral Yang Mampan (Pemprosesan Mineral Bukan Logam) di 2nd ASEAN Mineral Award (AMA) Tahun 2019 di Bangkok, Thailand, 23 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata, dengan anugerah tersebut syarikat terbabit telah mengharumkan nama negara dan negeri Terengganu di persada antarabangsa.

"Anugerah ini adalah anugerah pertama yang diterima oleh syarikat di negara kita melalui Syarikat Terengganu Silica Consortium Sdn Bhd (TSC) dan tercatat dalam sejarah Mineral dan Geosains Malaysia. Tahniah diucapkan kepada Syarikat TSC," katanya.

Dato' Tengku Hassan Tengku Omar.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sempena Meraikan Anugerah Best Practices In-Non-Metallic Minerals Processing kepada TSC dalam 2nd AMA 2019 dan Pelancaran Projek High Purity Silica oleh TRG Silica (Marang) Sdn Bhd, Merchang Marang, di Primula Beach Hotel di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi TSC, Tengku Sri Temenggong Raja, Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Zainal Abidin Hussin dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah.

Seterusnya Dato' Tengku Hassan berkata, dengan memenangi anugerah itu juga, TSC telah diiktiraf sebagai penggiat industri perlombongan Amalan Terbaik Dalam Pembangunan Mineral Yang Mampan di rantau ASEAN.

Dato' Tengku Hassan (tiga dari kanan) dn Tengku Sri Temenggong Raja (empat dari kanan) bercakap sesuatu kepada seorang tetamu yang hadir di Majlis Sempena Meraikan Anugerah Best Practices In-Non-Metallic Minerals Processing kepada TSC dalam 2nd AMA 2019 dan Pelancaran Projek High Purity Silica oleh TRG Silica (Marang) Sdn Bhd, Merchang Marang, di Primula Beach Hotel Kuala Terengganu. 
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang itu menjelaskan bahawa terbukti dengan 'standard' pengoperasian Projek High Purity Silica di Kampung Bari, Setiu dan inisiatif aplikasi Teknologi Hijau yang sedang diguna pakai oleh TSC adalah ke arah pembangunan mampan.

Katanya, projek High Purity Silica di daerah Setiu yang dimulakan sejak September 2016 itu merupakan integrasi aktiviti perlombongan, aktiviti kilang benefikasi serta aktiviti pelabuhan persendirian di Kampung Bari Kecil di daerah tersebut.

"Projek High Purity Silica ini adalah bertaraf antarabangsa terbesar di rantau Asia dan Oceania," jelasnya.

Menurut beliau, kakitangan yang berkhidmat dalam projek tersebut adalah 100 peratus warganegara Malaysia dengan bilangan sebanyak 90 peratus terdiri daripada rakyat Terengganu.

Katanya, TSC adalah syarikat 'subsidiary' milik TRG Industrial Minerals Sdn Bhd yang diusahasama dengan syarikat antarabangsa, Toyota Tsusho Corporation dan Tochu Corporation dari Jepun.

Sementara itu tambahnya, TSC telah melabur di Terengganu sebanyak RM250 juta sehingga hari ini.

"Latihan kepakaran dan pengenalan serta penggunaan teknologi luar negara diperkenalkan kepada kakitangan melalui kerjasama rakan niaga di Jepun," ujarnya lagi.


Tag: