• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Terengganu Sokong Belia Pacu Langkah Memajukan Negeri

KUALA NERUS, 28 Oktober - Kerajaan negeri berharap persatuan-persatuan belia di Terengganu terus memacu langkah memajukan anak-anak muda tempatan.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memberi komitmen untuk bersama-sama memajukan belia.

"Kita sangat terbuka untuk melaksanakan apa jua program untuk memperkasakan belia.

"Saya percaya, mereka telah melaksanakan apa yang terbaik dengan kapasiti yang ada, namun saya juga percaya mereka perlu meneroka lebih jauh supaya belia di Terengganu sampai bukan sahaja ke peringkat kebangsaan,tetapi juga antarabangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Perkampungan Belia Terengganu 2023 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan Belia) Kementerian Belia dan Sukan(KBS), Dr. Zainah Shariff.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad serta Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Anas Hazizul Muhamad.

Tambahnya, beliau maklum tentang pencapaian membanggakan persatuan-persatuan belia di Terengganu sebelum ini dan berharap ia diteruskan dengan lebih agresif.

Anugerah bagi kategori Pertubuhan Belia dimenangi oleh Persatuan Belia (MBFM) Felda Kerteh 3 yang membawa pulang hadiah RM10,000 beserta piala dan sijil.

Dalam festival yang berlangsung selama dua hari itu juga, pelbagai aktiviti diadakan seperti sukan, kebudayaan, kesukarelawan dan segmen keagamaan.

 

 

 


Tag: