• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Terengganu Sokong Usaha Martabatkan STEM

KUALA TERENGGANU, 20 September - Kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha bagi memartabatkan bidang Sains, Teknologi Kejuruteraan, Matematik (STEM) melalui pelbagai program.

Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha kerajaan Negeri berkata, menerusi pemerkasaan bidang berkenaan ia akan menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju.

Ini kerana katanya, langkah tersebut mampu meningkatkan kualiti pendidikan yang akan melahirkan para ilmuan dalam bidang terbabit.

"Memandangkan dunia telah bersaing dan rancak mengusahakan pemodenan teknologi maklumat bagi menuju 'Fourth Indutrial Revolution'.

"Negeri Terengganu juga perlu memandang jauh ke hadapan supaya kita tidak ketinggalan dalam melahirkan saintis dan pakar-pakar bidang professional," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menyempurnakan Majlis Penutupan 'Spark Your Creativity Challenge 2023' di Pusat Sains kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, semalam.

Mengulas mengenai program berkenaan katanya, ia merupakan salah satu usaha PSKT menggalakkan para pelajar untuk terlibat secara langsung dalam membudayakan pendidikan STEM.

"Di mana pelajar-pelajar sekolah dari negeri ini saling bertanding untuk rekacipta dan inovasi, pada tahun ini melibatkan 200 peserta.

"Melalui penganjuran ini yang telah memasuki tahun kelima, saya ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada ExxonMobil Malaysia kerana setiap tahun telah memberi sumbangan kepada kerajaan negeri terutamanya dalam bidang pendidikan.

"Saya difahamkan PSKT telah menerima sumbangan sektor korporat sebanyak RM50,000 bagi tahun 2023," ujarnya lagi.

Untuk rekod pada tahun ini PSKT telah mengetengahkan pertandingan 'Inovasi Dron Kepada Industri' bagi memperkenalkan murid dengan teknologi dron seiring dengan Revolusi Industri 4.0.