• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Tambah Kawasan Penanaman Padi

KUALA TERENGGANU, 16 September - Kerajaan Terengganu sudah mengenalpasti kawasan baharu untuk projek penanaman padi bagi meningkatkan hasil bekalan beras di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kawasan tersebut merupakan kawasan yang telah lama tidak ditanam padi justeru akan dibangunkan semula bagi tujuan berkenaan.

Katanya, pihaknya juga sedang berkomunikasi dengan rakyat di kawasan tersebut bagi mencari tenaga kerja.

"Oleh kerana, kawasan berkenaan sudah lama tidak diusahakan maka keluarga-keluarga di sana sudah bekerja di luar negeri dan sebagainya.

“Nak cari orang untuk usahakan juga perlu ditangani dengan baik dan tidak mudah sebenarnya serta memakan masa," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang selapas majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Biya’dil Assuluk bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu di sini semalam.

Tambah Ahmad Samsuri, di peringkat negeri Terengganu, kerajaan telah mengenalpasti kawasan-kawasan yang dikategorikan sebagai jelapang padi tetapi tidak diusahakan dengan sepenuhnya.

“Perkara tersebut telah kita laksanakan pada penggal lepas iaitu dengan mempertingkatkan jumlah kawasan ekar itu sendiri.

“Namun, ada kekangan tertentu seperti kawasan pengairan dan sebagainya yang perlu dipertingkatkan.

“Ada kawasan yang jelapang padi tapi sudah tidak ada pengairan yang sesuai maka ianya akan mengambil masa untuk kita mempertingkatkan kawasan pengairan.

“Supaya kawasan jelapang padi itu dapat digunakan sepenuhnya,” ujarnya.

Selain itu katanya, kerajaan juga fokus untuk menggunakan teknologi yang lebih efisien supaya meningkatkan hasil dengan baik.

Beliau berkata, bagi mengatasi masalah beras, sudah tentu beberapa tempoh masa diperlukan.