• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Tarik Pelaburan, Cipta Pekerjaan

KUALA TERENGGANU, 13 September – Terengganu kini komited melaksanakan beberapa pelaburan, program dan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia bakal memberi kesan ekonomi ketara kepada negeri menerusi pelaburan yang dibawa masuk dari dalam dan luar negara yang seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan atas usaha ECERDC dalam menarik pelaburan dari pelbagai sektor ke Terengganu.

“ECERDC membuka peluang pertumbuhan (ekonomi) dengan menarik pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk minyak, gas dan petrokimia.

“Saya juga berbesar hati kerana Terengganu berjaya mengekalkan daya saing dalam menarik pelabur melalui kerjasama erat kerajaan negeri,” katanya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya semalam.

 

Tambah Ahmad Samsuri, terdahulu beliau telah mempengerusikan mesyuarat pelaksana East Coast Economic Region untuk Negeri Terengganu.

“Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari ECERDC, Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Ekonomi (MoE) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Hadir sama beberapa Jabatan dari Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Kerjasama Awam Swasta dan Jabatan Perdana Menteri di Menara PJH, Putrajaya," ujarnya.

Terdahulu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji negeri Terengganu yang mempunyai banyak potensi termasuk kemasukan dan peluang pelaburan.