• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Tegas Perangi Rasuah, Salah Guna Kuasa

KUALA TERENGGANU, 1 November - Kerajaan Terengganu tegas dalam memerangi aktiviti rasuah dan salah guna kuasa yang merupakan isu kritikal pada masa ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) merupakan sebagai usaha untuk mengekang budaya amalan rasuah di kalangan penjawat awam.

Katanya, Pelan OACP merupakan satu cara untuk menyedarkan kakitangan sendiri bahawa bahayanya akan aktiviti rasuah.

“Penjawat awam adalah golongan yang berisiko tinggi terhadap rasuah justeru kerajaan telah memperkenalkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

“Pelan Antirasuah Nasional (NACP) adalah sebagai dokumen utama Kerajaan Malaysia yang menggariskan tindakan menyeluruh dan bersepadu dalam memerangi rasuah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Pelancaran Buku Pelan Antirasuah Organisasi Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu 2022 bertempat di Bilik Gerakan Aras 5, Bangunan Mahkamah Syariah, Kuala Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri bin Wan Mohd dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Negeri Terengganu, Tuan Ruslan Che Mat.

Tambah Bijaya Raja, melalui usaha tersebut ia dapat membendung pentadbiran negeri daripada unsur-unsur penyelewengan, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.

Mengulas lanjut, beliau mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Terengganu yang telah berjaya menerbitkan Pelan OACP 2022-2026.

“Tidak lupa juga kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sentiasa komited dalam membantu semua jabatan-jabatan di negeri Terengganu ini dalam penyediaan Pelan Anti Rasuah,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan pelan ini dilihat dalam tempoh lima tahun akan datang yang signifikannya dalam mencerminkan harapan rakyat untuk membentuk sebuah jabatan dan negeri yang bebas rasuah.

 


Tag: