• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Tempuh Laluan Sukar

KUALA NERUS, 22 November- Terengganu FC berdepan laluan sukar apabila seri 1-1 menentang Johor Darul Ta'zim dalam aksi sedikit kontroversi pada saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia, sebentar tadi.

Melayan kunjungan lawan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, skuad kendalian Nafuzi Zain bermula garang apabila mencetak gol pertama melalui penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah yang menanduk kemas hantaran lintang Lee Tuck seawal minit ke-8 permainan.

Anak-anak buah Benjamin Mora cuba menyamakan kedudukan pada minit ke-10, namun rembatan Bergson Da Silva dinafikan tiang.

Pada minit ke-28, Penyerang muda Harimau Selatan, Arif Aiman berpeluang meledak gol penyamaan, tetapi Mohd Suhaimi Husin lebih cekap menepis rembatannya.

Bergson sekali lagi mendapat peluang satu lawan satu di hadapan gol pada minit ke-41, tetapi ditepis Suhaimi.

Seminit kemudian, Mintah berjaya melepasi perangkap offside dan menggelecek pertahanan lawan, sayangnya rembatan penyerang tersebut hanya menerjah jaring sisi gawang.

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat mempamerkan aksi bertenaga dengan lebih banyak menyerang.

Gol penyamaan Johor DT hadir pada minit ke-50 selepas Bergson yang berjaya menewaskan pertahan Terengganu FC, merembat kencang ke gawang tuan rumah.

Sang Penyu lebih banyak bertahan pada separuh masa kedua dengan menumpukan serangan balas bagi menembusi kubu Johor DT, lebih-lebih lagi setelah pertahanan, Mohd Arif Fadzilah dan Carli De Murga dikeluarkan akibat cedera.

Pada minit ke-71, kekecohan berlaku di hadapan gol Terengganu FC apabila Shane Lowry bertindak mengasari Mintah yang telah terjatuh.

Pemain pertahanan itu turut menjatuhkan penjaga gol Terengganu FC, Suhaimi yang cuba menenangkannya, namun amat mengejutkan ramai apabila pengadil perlawanan, Tuan Mohd Yassin tidak memberikan sebarang kad atas kesalahan tersebut.

Pada minit-minit terakhir perlawanan, Tuan Mohd Yassin turut melakukan beberapa keputusan kontroversi yang menghangatkan suasana di kalangan penyokong di stadium sehingga tamat perlawanan.

Keputusan kekal 1-1 dan Terengganu FC akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Jumaat ini dalam aksi timbal balik dengan juara Liga Super 2021 itu memiliki kelebihan gol di tempat lawan.

 

 


Tag: