• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Terima Bayaran Royalti RM447,749.97 Daripada KUTT

KUALA TERENGGANU, 10 Januari - Kerajaan negeri hari ini menerima bayaran wang royalti sebanyak RM447,749.97 daripada Koridor Utiliti Teknologi Terengganu Sdn Bhd (KUTT) dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Wisma Darul Iman.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, sehingga 30 November tahun lalu sebanyak 260 permohonan telah diterima pihak KUTT bagi kerja-kerja korek gali merangkumi keseluruhan daerah di negeri ini.

“Jarak keseluruhan permohonan yang diterima sepanjang 944,723 meter dan menjadikan jumlah pembayaran royalti Perbendaharaan Negeri Terengganu sebanyak RM447,749.97 bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

“Terima kasih kepada pihak KUTT atas pembayaran royalti ini,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis tersebut.

Pada majlis itu, Dr. Mamad menerima ‘mock cheque‘ bayaran royalti yang diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KUTT, Ir. Ts. Ahmad Azhan Suhaili sambil disaksikan wakil dari Pejabat Perbendaharaan Negeri Terengganu dan Ketua Pegawai Kewangan KUTT, Norizan Ibrahim.

Pada majlis yang sama, KUTT turut menyerahkan sumbangan di bawah peruntukan CSR syarikat sebanyak RM100,000 kepada Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat untuk disalurkan kepada Tabung Darul Iman bagi membantu meringankan beban golongan yang kurang bernasib baik.

Sementara itu, Ir. Ts. Ahmad Azhan berkata, KUTT mencatatkan pertumbuhan kewangan memberangsangkan hasil prestasi cemerlang daripada semua bahagian membolehkan syarikat sekali lagi berpeluang mengembalikan bayaran royalti yang lebih besar buat kerajaan Negeri berbanding hanya RM250,732.50 pada tahun 2021.

Katanya, pembayaran royalti yang mampu diberikan oleh KUTT secara berterusan itu walaupun dengan usia syarikat baru mencecah dua tahun sejak ditubuhkan pada Mac 2021 mencerminkan keupayaan syarikat dalam menguruskan aset dan bekerjasama di dalam memacu pertumbuhan penyediaan utiliti di seluruh negeri ini. 

“Selain itu, ia juga merupakan bukti komitmen syarikat dalam memberikan pulangan yang mampan bagi setiap pelaburan yang diamanahkan dan kita akan lebih komited untuk memberikan pulangan yang lebih kepada kerajaan negeri berdasarkan kepada permohonan-permohonan yang kita telah terima di seluruh negeri ini,” ujarnya.

Menurut beliau, KUTT dilantik oleh Kerajaan Negeri sebagai Agensi Hentian Setempat (One Stop Agency) untuk semua permohonan permit bagi kerja-kerja korek gali di seluruh Negeri Terengganu. 

‘‘Penubuhan ini mempertanggungjawabkan KUTT untuk membangunkan Koridor Utiliti Negeri Terengganu yang mana ianya akan disimpan di dalam pangkalan data bersepadu bagi semua jajaran utiliti merangkumi tenaga eletrik, bekalan air, rangkaian telekomunikasi dan sistem kumbahan.

“Imbalan bagi pelantikan itu, KUTT disyaratkan untuk membayar sebahagian daripada pendapatan sebagai royalti kepada negeri bagi setiap tahun beroperasi,” jelasnya.