• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Terima Peruntukan Tertinggi  Pulihara Muara Sungai Cetek

SETIU, 25 Februari- Terengganu menerima peruntukan paling tinggi berjumlah RM1.16 bilion bagi mengatasi masalah muara sungai cetek di negeri itu.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, jumlah tersebut merupakan sebahagian dari peruntukan kerajaan pusat sebanyak RM1.6 bilion bagi mengatasi masalah muara sungai cetek di seluruh negara bagi tempoh 2002 sehingga 2021.

Katanya, masalah muara sungai berlaku di seluruh negara, namun terdapat 14 muara sungai di Terengganu berbanding negeri lain yang hanya ada tiga atau empat muara.

Menurut beliau, sebanyak RM343 juta telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, bagi pelaksanaan tiga projek baharu di bawah Program Pemuliharaan Muara Sungai.

"Salah satunya Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu yang menerima dengan jumlah siling peruntukan sebanyak RM150 juta yang telah bermula Januari lepas dan dijangka siap dalam masa tiga tahun.

"Selain itu, kos pembinaan struktur pemecah ombak, struktur training wall, lapis lindung 
(revetment), penyuburan pantai (beach nourishment) dan juga kerja pengorekan alur navigasi 
sepanjang 14 kilometer dari Kampung Gong Batu sehingga Jeti LKIM di Kampung 
Penarik pula melibatkan peruntukan sebanyak RM116 juta." katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu di sini, hari ini. 

Tambah beliau, pihaknya sentiasa peka dengan keluhan para nelayan yang terlibat dengan permasalahan muara cetek 
yang menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Jelasnya lagi, menjadi salah satu keutamaan Kementerian Alam Sekitar bagi kelangsungan aktiviti sosio-ekonomi masyarakat tempatan berjalan dengan lancar.