• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Terengganu Terus Perkasa Digitalisasi

KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Terengganu mengambil langkah untuk terus menggalakkan digitalisasi dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan sejajar dengan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0). 

Setiuasaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azhar berkata, melaluinya lebih banyak perkhidmatan secara dalam talian atau e-kaunter akan dibangunkan untuk merancakkan usaha digitalisasi dan automasi.

Katanya, justeru itu, setiap penjawat awam seharusnya lebih kreatif dan berinovatif dalam mendepani gelombang IR 4.0 dengan memanfaatkan kelebihan komunikasi baharu dalam melaksanakan tugas harian.

“Hari ini, sebarang maklumat dan promosi menjangkaui media arus perdana, di mana lebih menumpukan penggunaan  facebook, twitter atau Instagram.

“Ia menjadi sumber utama kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini terutama di kalangan belia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan Pengarah Tanah dan Galian Terengganu, Dato’ Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang, di Hotel Permai di sini hari ini.

Menurutnya lagi, semua penjawat awam perlu lebih peka dan melengkapkan pengetahuan diri dan kemahiran, terutamanya berkaitan teknologi maklumat (ICT).

“Langkah itu penting bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan, sekali gus menjamin sistem penyampaian perkhidmatan kita yang lebih produktif, berkualiti dan cemerlang.

“Ditegah menyalahgunakan media sosial dengan menyebarkan maklumat atau melemparkan tuduhan palsu dan kritikan terhadap kerajaan secara melulu,” katanya.

 


Tag: