• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Terengganu Tidak Berhasrat Ambil Alih TCFC

Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.
KUALA TERENGGANU, 15 November - Kerajaan Terengganu tidak berhasrat untuk mengambil alih pengurusan Terengganu City FC (TCFC).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri sudah ada komitmen yang agak besar untuk mengambil pasukan baru.

Katanya, ianya juga akan menambahkan komitmen kerajaan negeri dalam sektor  kewangan.

“Saya akan mendapatkan maklumat yang rasmi dalam sikit masa lagi tentang perkara ini dan sudah tentu  kita akan cuba selesaikan isu ini dengan cara paling baik sebab yang dinyatakan tadi bukan mudah bagi TCFC berjaya menjulang trofi Liga FAM musim ini dan layak ke Liga Perdana musim depan.

“Dan apatah lagi TCFC adalah satu pasukan yang  dibangunkan oleh kelab perseorangan, bukannya melalui komitmen daripada kerajaan,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam  berkata demikian ketika ditemui pihak media di Tingkat 5 Wisma Darul Iman, kelmarin.

Sehubungan itu, katanya, beliau difahamkan ada pihak yang berminat untuk mengambil alih TCFC tetapi kita tunggu pihak tersebut mengumumkan sendiri pihak mana yang berminat.

“Cuma kita  sebenarnya lebih mengharapkan masalah yang berlaku diselesaikan dengan baik demi kesejahteraan semua pihak.

“Bukan sahaja pasukan itu, bahkan yang paling penting pemain itu sendiri, para jurulatih dan pegawai yang terlibat dalam pasukan itu supaya tidak berlaku sesuatu perkara tidak sepatutnya,” ujarnya.

Menurut Ustaz Wan Sukairi,  beliau mendapat maklumat bahawa isu pokok berkait dengan isu pembayaran gaji sudah diselesaikan.

Dalam laporan sebelum ini, jurulatih dan pemain skuad The Sharks (TCFC) membuat aduan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas hilang sabar dengan karenah pengurusan yang gagal membayar gaji sejak enam bulan lalu.



Tag: