• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Terengganu Tumpu Bidang Pembuatan, Farmaseutikal

KUALA TERENGGANU, 15 Februari- Kerajaan Terengganu mahu memberi tumpuan kepada bidang pembuatan serta farmaseutikal yang dikenal pasti mempunyai potensi besar untuk berkembang di rantau ini sekaligus mampu menarik minat pelabur.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketika menerima kunjungan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke kediaman rasminya di Seri Setia semalam, mereka ada berbincang mengenai bagaimana untuk meningkatkan jumlah pelaburan di Negeri Terengganu.

“Dalam pertemuan itu saya dimaklumkan bahawa beliau (Tengku Zafrul) akan mewakili Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk mengadakan misi pelaburan ke luar negara dan mungkin akan dijemput negeri-negeri untuk turut sama ke negara tertentu dalam waktu terdekat ini.

“Kita tunggu maklumat dari pihak kementerian dan kami juga berbincang tentang apakah bidang-bidang industri yang boleh dibawa ke Terengganu.

“Saya fokuskan kepada bidang di luar minyak dan gas supaya kita ada kepelbagaian bidang lain seperti pembuatan dan farmaseutikal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai pertemuan tersebut selepas menyempurnakan Majlis Meet & Greet Menteri Besar Terengganu bersama Penerima Biasiswa Master & PhD Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Katanya, bidang pembuatan dan farmaseutikal masih kurang diberi tumpuan walaupun Terengganu sudah memiliki Bio Polimer Park di Kerteh yang mengfokus kepada bidang-bidang yang berkaitan biologi dan seumpamanya.

“Kalau boleh kita mahu supaya dipertingkatkan mengenai farmaseutikal dan lain-lain yang berkaitan di negeri ini,” ujarnya.