• 19 Apr 2024 | 10 Syawal 1445

Terengganu Umum Pemberian Bantuan Tunai Kepada Perantau

SERDANG, 23 April – Kerajaan negeri akan menyalurkan dana khas ‘one-off’ kepada perantau Terengganu yang layak melibatkan peruntukan sebanyak RM1.5 juta.  

Perkara demikian diumumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Berbuka Puasa Anak Terengganu Di Perantauan Bersama Kepimpinan Kerajaan Negeri di MAEPS, Serdang di sini hari ini.

“Kerajaan amat menghargai peranan anak Terengganu di perantauan yang menjadi duta kepada seluruh rakyat negeri.

“Maka kerajaan memperuntukkan dana khas buat perantau secara ‘one-off’ berjumlah RM1.5 juta,” katanya dalam ucapan perasmian.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Wakil Sekretariat Kepimpinan Anak Terengganu Di Perantauan, Dr Nuri Al Amin Endut.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, maklumat berkaitan permohonan boleh dirujuk pada sistem i-Bantuan kerajaan negeri bermula esok, 24 April.

"Insya-Allah, semoga bantuan i-Perantau ini dapat memberi keringanan kepada anak Terengganu perantau yang memerlukan.

"Kita anggarkan 5,000 ketua isi rumah akan mendapat manfaat daripada bantuan ini," jelasnya.

Seramai 2,000 orang yang menjadi sebahagian daripada perantau Terengganu yang kini bekerja serta belajar di Lembah Klang diraikan dalam majlis tersebut. 

Terdahulu, dana bantuan raya i-Fitri mula diagihkan kepada penerima melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) melibatkan peruntukan berjumlah RM58.99 juta kepada hampir 150,947 penerima.

 


Tag: