• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

'Terima Kasih Dr Khairuddin' - Petugas Pusat Kuarantin

KUALA NERUS, 2 Disember – Meskipun menghala fasa endemik, pertarungan ‘frontliners’ masih berterusan pada masa kini, justeru, Ahli Parlimen Kuala Nerus sekali lagi mengambil cakna menerusi sumbangan kepada 55 orang petugas kesihatan di Pusat Kuarantin COVID-19 (PKRC) Gong Badak.

Wakil Pusat Khidmat kawasannya, Raja Arizal Raja Arif berkata, biarpun negara menuju fasa endemik, petugas-petugas kesihatan masih terus giat melakukan tanggungjawab sebagai satu amanah untuk dilaksanakan untuk kebaikan rakyat.

“PKRC di Gong Badak masih aktif menjaga 200 pesakit yang dirawat dan memerlukan pengawasan sebaiknya dalam usaha mengawal penularan virus.

“Sumbangan wang tunai, lampin pakai buang kanak-kanak serta beberapa keperluan lain adalah sebagai tanda kebersamaan kita untuk saling membantu antara satu sama lain.

“Dato’ Dr Khairuddin sentiasa menghargai pengorbanan petugas-petugas barisan hadapan bahkan cakna untuk terus membantu jika diperlukan,”  katanya selepas menyampaikan bantuan di PKRC Gong Badak, baru-baru ini.

Turut serta dalam penyampaian sumbangan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tanjung Angsa, Mohd Rabbani dan Pegawai Khas (Hal Ehwal DUN Seberang Takir) Azmi Mokhtar.

Mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, beliau mengharapkan ia dapat menjadi penyunting semangat buat petugas-petugas agar terus berbakti kepada masyarakat, negeri dan negara.