• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Terima Kasih JPKK Bantu Mudahkan Pemberian I-Fitri' - Penerima

KUALA TERENGGANU, 21 April – Rata-rata penerima i-Fitri di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar berterima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana membantu melancarkan urusan mereka menerima bantuan tunai tersebut hari ini.

Rozita Khalid, 57, berkata sejak daripada awal permohon JPKK sentiasa turun padang bagi memahamkan rakyat prosedur permohonan.

“JPKK sangat membantu daripada mula mengisi borang permohonan tempoh hari sehingga agihan pada hari ini.

“Alhamdulillah terima kasih kerajaan negeri, bantuan ini sedikit sebanyak boleh mengurangkan beban bagi persiapan keperluan menyambut Hari Raya nanti,” katanya selepas menerima i-Fitri di Dewan Terbuka Kompleks Seri Iman, di sini hari ini.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, agihan dana tersebut melibatkan 2,142 penerima yang layak dengan peruntukan sejumlah RM836,550.

“Bagi DUN Bandar, 2,142 penerima ini terbahagi kepada seramai 2,007 bagi kategori A dan 135 penerima kategori B.

“Kita cuba jadikan proses agihan ini lancar dengan meletakkan pecahan masa kepada penerima bagi setiap JPKK hadir untuk mengelakkan kesesakan,” katanya kepada pemberita. 

Mengulas lanjut berkenaan proses agihan i-Fitri, beliau berkata semua penerima yang layak akan dihubungi oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi memaklumkan status permohonan.

Terdahulu, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM58.99 juta ‘one-off’ bagi pemberian bantuan sempena Aidilfitri melibatkan 150,947 penerima.

 


Tag: